Seputar Sesi Konsultasi Aura
by Admin on Apr.05, 2010, under Aura, Info Kursus, Promo Terkini
Sesi konsultasi aura merupakan sesi yang tersangat peribadi. Segala kupasan maklumat peribadi pelanggan adalah perkara yang diklasifikasikan sebagai SULIT. Ini merupakan perkara yang harus diketahui dan difahami oleh pelanggan sebelum memasuki bilik konsultasi. Walaubagaimanapun, pelanggan BERHAK untuk membawa teman jika temannya itu merupakan seseorang yang rapat dengannya ataupun seseorang yang dipercayai.
Sesi konsultasi ataupun diagnosis secara keseluruahnnya merupakan sesi untuk mengukur tahap TENAGA yang terdapat pada manusia.
Imbasan akan mengambil masa sekitar anggaran kurang dari 5 minit sahaja dan keputusan warna aura akan terpapar di skrin monitor komputer. Imbasan ini akan dilakukan menggunakan peralatan Aura Bio-Sensor.
Apa itu Aura?
Sebelum memulakan kupasan, pelanggan akan diterangkan dengan sedikit fakta secara umum berkenaan aura dan sistem bio-energi manusia. Ini untuk memudahkan pelanggan untuk memahami kupasan yang akan diterangkan selanjutnya.
Perkara pertama yang akan dikupaskan adalah berkenaan aura personaliti pelanggan. Terdapat beberapa perkara yang akan diperiksa seperti warna aura, saiz aura dan masalah kebocoran aura.
Warna Aura
Warna aura yang terang dan bersinar menunjukkan keadaan yang bagus, manakala warna yang suram dan keruh menunjukkan terdapat permasalahan dan radiasi. Aura personaliti pelanggan juga telah dapat ditentukan sama ianya tergolong dalam warna sejuk atau panas. Penerangan tentang aura personaliti pelanggan telah memasuki fasa pertama.

Contoh warna aura yang suram pada bahagian kiri tubuh
Saiz Aura
Faktor ini memainkan peranan penting. Saiz 50% ke atas menunjukkan saiz yang bagus dan 50% ke bawah menunjukkan terdapat permasalahan. Pelanggan akan diterangkan berkenaan FUNGSI AURA sebagai sebahagaian dari mekanisma pertahan atau perisai halus pada tubuh.

Masalah Kebocoran Aura
Kebocoran aura boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor dalaman dan luaran. Contoh punca kobocoran aura dari faktor dalaman adalah disebabkan dari gelombang perasaan / pemikiran negatif seseorang itu sendiri. Dengan bahasa mudahnya ’seseorang itu dengan sendirinya ”membuka laluan” untuk energi negatif masuk ke dalam lingkaran medan tenaganya (aura)’. Ini kerana aura juga memainkan peranan sebagai magnet selain dari perisai halus. Contoh kebocoran aura dari faktor luaran pula adalah disebabkan oleh pendedahan terlalu lama dengan peralatan yang menghasilkan Electro Magnetic Field yang tinggi. Sebagai contohnya komputer, telefon bimbit, pencawang penjana elektrik dll.

Contoh lapisan aura yang mengalami kebocoran pada bahagian atas kepala.
Pusat Tenaga (Chakra)
Seterusnya kupasan berkenaan pusat tenaga akan dilakukan. Pelanggan sekali lagi akan diterangkan secara umum tentang segala fungsi chakra dan kaitannya aura, sistem kelenjar (kelenjar menghasilkan hormon dan hormon memberi kesan ke atas fizikal serta psikologi manusia) dan juga sistem bio-energi manusia. Antara perkara yang diberi perhatian adalah seperti tahap peratus tenaga pada chakra, saiz dan bentuk chakra, warna chakra serta peratus keseluruhan tahap aura dan chakra.
Tahap Peratus Tenaga Pada Chakra
Pelanggan akan dapat mengetahui secara jelas tentang tahap peratusan tenaga yang terdapat pada chakranya. Diagnosis hanya akan memberi penumpuan pada peratus tenaga yang rendah.
Tahap 30% ke bawah merupakan peratusan yang rendah dan sememangnya terdapat masalah baik secara fizikal mahupun psikologi. Perlulah diketahui bahawa diagnosis ini tidak bertujuan memberikan nama jenis penyakit tetapi ianya lebih menjurus ke arah mengenalpasti zon yang mempunyai masalah. Zon ini diwakili oleh satu chakra. Chakra ini mewakili sistem fizikal serta faktor psikologi. Kebiasaannya pada tahap 30% ke bawah ini seseorang itu mempunyai masalah-masalah pada tubuh fizikal dan psikologi.
Tahap 60%, 50% dan 40% merupakan peratusan tahap sederhana, namun ianya masih belum didalam kategori ’selamat’. Ini kerana manusia pada abad ini terdedah dengan begitu banyak radiasi buatan sendiri, corak pemakanan yang tidak seimbang dan gaya hidup yang kurang sihat – kurang bersenam dll.
Tahap 70% hingga 100% merupakan tahap peratusan yang paling ideal. Untuk mendapatkan tahap peratusan yang tinggi seperti ini, seseorang itu harus mengekalkan corak pemakanan yang seimbang lagi menyihatkan, gaya hidup yang sihat dan mengamalkan senaman sebagai rutin harian.
Bentuk Chakra
Bentuk yang terdapat pada chakra juga turut dianalisa dan melalui teori menyatakan bahawa bentuk chakra yang sihat adalah bulat seperti roda. Jika terdapat chakra yang mempunyai bentuk yang selain dari bulat, kemungkinan besar chakra tersebut mengalami masalah atau stres dari konteks energi. Samada mengalami lebihan energi ataupun kekurangan energi. Perubahan bentuk adalah berkemungkinan dari hambatan tenaga yang berlaku.
Warna Chakra
Pada asasnya warna chakra ada seperti :
Chakra Dasar (Base) – Merah
Chakra Emosi (Sacral) – Jingga
Chakra Sukses (Solar Plexus) – Kuning
Chakra Jantung (Heart) – Hijau
Chakra Komunikasi (Throat) – Biru
Chakra Sensual (Third Eye) – Indigo
Chakra Spiritual (Crown) – Violet
Jika terdapat perubahan pada warna chakra contoh : chakra jantung (hijau) berubah kepada warna biru menunjukkan chakra tersebut mengalami stress dari konteks tenaga.
Seterusnya pelanggan akan diberikan nasihat serta tips penjanaan aura dan chakra yang mana ianya juga merupakan perkara yang pelanggan HARUS TAHU demi untuk mencapai tahap kesihatan yang seimbang baik dari segi fizikal mahupun psikologikal.
Artikel oleh Master Lutfi







