Profil Dr. Mir Hazil Azran Ramli

Dr. Mir Hazil Azran Ramli dilahirkan di Taiping, Perak pada 25hb Jun, 1972 bersamaan 13hb Jamidul Awal, 1392 Hijrah. Merupakan anak ke tiga kepada pasangan Hj Ramli bin Zahid dan Hjh Aishah bt Harun. Semasa usianya 7 bulan, beliau kehilangan ayahanda tersayang yang kembali ke Rahmatullah. Beliau dibesarkan dan mendapat didikan serta kasih sayang dari bonda tercinta yang merupakan seorang Guru.
Dr. Mir Hazil mendapat pendidikan awal di Sek Keb Simpang, Taiping dan seterusnya melanjutkan pendidikan menengah beliau di Sek Men Keb Agama Sultan Azlan Shah di Sri Iskandar, Bota, Perak. Tamat persekolahan, atas sebab-sebab tertentu beliau menangguhkan hasratnya untuk menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi buat sementara dan terus melangkah ke alam pekerjaan di dalam bidang perbankan. Semangat dan keinginan untuk belajar tidak pudar bagi dirinya, sambil bekerja beliau telah melanjutkan pendidikan melalui pengajian jarak jauh di Institut Teknologi MARA dalam jurusan Diploma Perniagaan. Beliau telah berada di dalam industri perbankan untuk kira-kira 12 tahun sebelum mengambil keputusan untuk menceburi bidang yang telah menarik minat dan perhatiannya iaitu Perawatan Alternatif.
Sejak tahun 1998, beliau mula berjinak-jinak dengan ilmu perubatan alternatif melalui beberapa siri kursus dan pembelajaran pada tahap sijil dan diploma. Antara bidang yang diterokai oleh beliau adalah Iridology, Applied Kinesiology, Akupuntur, Reiki, Herba, Phytobiophysics, Colour Therapy, Chromatology, Touch for Health dan Psycotherapy. Beliau juga mendalami ilmu-ilmu berkaitan Potensi Minda seperti Neuro Linguistic Programming (NLP), Emotional Freedom Technique (EFT), Emotional-Spiritual Quotients (ESQ), Numerology, Astrology dan sebagainya. Minat yang mendalam dalam ilmu-ilmu rawatan alternatif dan metafizika telah mendorong beliau melanjutkan pelajaran secara berperingkat-peringkat sehingga ke tahap Sarjanamuda dalam Sains Bio-Energi Manusia. Menerusi kajian dan tesis bertajuk ‘Aura Mastery’, pada Januari 2006 beliau menerima anugerah Doktor Falsafah dari Zoroastrian College, Mumbai & The Open International University for Complementary Medicine, Colombo, Sri Lanka.
Perjalanan Reiki oleh Dr. Mir Hazil bermula kira-kira 10 tahun yang lalu. Sejak diperkenalkan kepada Terapi Reiki, beliau banyak menjadikan kaedah terapi ini sebagai remedi penjagaan dan penjanaan energi untuk dirinya dan keluarga. Secara beransur-ansur beliau mula mendalami ilmu-ilmu Reiki menerusi beberapa orang Reiki Master di Malaysia dan antarabangsa. Selain merupakan Master Teacher untuk “Usui Reiki”, beliau juga merupakan Karuna Ki Master Teacher, Imara Reiki Master Teacher, Acsension Reiki Master, Sufi Reiki Master dan pengamal untuk beberapa aliran Reiki yang lain. Beliau mula menawarkan khidmat Terapi Reiki sebagai khidmat rawatan alternatif yang utama di samping beberapa teknik penyembuhan yang lain sejak tahun 2001. Atas permintaan dari kalangan kenalan dan pelanggan, beliau mula mengajar Seni Penyembuhan Reiki secara aktif sekitar tahun 2004.
Dr. Mir Hazil merupakan Konsultan dan Pengamal di Pusat Rawatan Reiki, InnerGy Quest Bio-Concept di Seksyen 9, Shah Alam. Pusat ini menyediakan pelbagai terapi alternatif, khidmat kaunseling, terapi rohaniah, kursus Reiki, kursus Kuasa Minda, Numerology, Motivasi, khidmat dianogsis Bio-Energi melalui Kamera Aura-chakra, Khidmat ‘Feng Shui’, Kristal dan lain-lain perkhidmatan yang menjurus kepada keharmonian Jasmani & Rohani. Master Mir Hazil merupakan pengasas untuk Siri Produk Kesihatan Bio-Energi “7Chakra” dan “7Chakra Busana Muslim”. Beliau juga merupakan Pengamal Alternatif yang pertama di Malaysia yang menawarkan khidmat dianogsis kesihatan Aura melalui Kamera “Aura Video Station” (AVS). Dengan latar belakang pendidikan di dalam ilmu Sains Bio-Energi Manusia, sesi foto aura yang dikendalikan oleh Master Mir Hazil merupakan sebuah sesi dianogsis yang ilmiah.
Dr. Mir Hazil secara aktif melibatkan dirinya untuk mendedahkan ilmu Aura dan Reiki kepada umum. Beliau menerima banyak undangan untuk membicarakan dan memperjelaskan perihal Aura secara ilmiah dalam banyak majlis-majlis ilmu. Antara yang pernah mengundang beliau adalah; Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Pertubuhan Umno, Puspanita, Usahanita, Felda, Insken, Jabatan-jabatan swasta dan syarikat-syarikat persendirian. Beliau juga turut mendapat undangan untuk bersiaran di rancangan Wanita Hari Ini & Malaysia Hari Ini di TV3, rancangan Busana Muslim di TV9 serta telah memperkenalkan konsep ‘Aura & Makanan’ melalui 13 episod rancangan masakan di RTM1 yang bertajuk ‘Aura Rasa’. Beliau juga pernah diwawancara di media-media cetak seperti di akhbar Berita Harian, Utusan, Metro, Sinar Harian, Majalah Mingguan Wanita, Harmoni, Al-Islam, Mastika, Misteri dan lain-lain. Tajuk Aura & Reiki dengan nama Master Mir Hazil begitu sinonim, malah ramai yang mendapat penerangan ilmu aura, chakra dan Reiki secara jelas dan tepat dari beliau.
Mendirikan mahligai rumah-tangga bersama isteri Puan Shuhaila bt Kamis dan telah dianugerahkan 3 cahayamata iaitu Allahyarham Muhammad Afdlin Damia (kembali ke Rahmatullah pada 1999 ketika berusia 2 tahun akibat kemalangan jalanraya), Muhammad Affiq Darimy dan Mir Amelyn Saffiya. Dr. Mir Hazil atau lebih senang dikenali sebagai ‘Master Hazil’ di kalangan teman-teman, pelajar-pelajar Reiki dan pengamal Reiki; merupakan seorang yang sederhana, pendiam dan suka berkongsi ilmu. Dikalangan pelajar dan pengikut setianya, beliau adalah seorang ‘guru’, konsultan, mentor, jurulatih dan yang utamanya adalah seorang ‘teman’ yang akrabnya umpama ahli keluarga. Hanya mereka yang rapat dengan beliau akan mengenalinya secara dekat. Bukan nama, latarbelakang atau gelaran kedudukan beliau yang menjadi ukuran; namun misi, visi, pengalaman dan falsafah tentang kejiwaan dan kehidupan beliau yang tarikannya umpama magnet dan menjadikan siri kuliahnya sentiasa mendapat perhatian di kalangan yang mengenalinya.






